Theme Preview Rss

Followers

TIADA GUNA AKU MENASIHATIMU!!

Suatu malam, Khalifah Harun al-Rasyid memanggil pegawai pengiringnya, Fadhil al-Barmasid supaya membawanya bertemu dengan seseorang yang boleh memberikan nasihat dan menunjukkan siapa dirinya yang sebenar, kerana baginda sudah letih dengan kemewahan dan takhta. Lalu pegawai tersebut membawa khalifah ke rumah seorang alim yang terkenal di kawasan itu. Nama mualim itu ialah Fudhail bin Iyadh.

“siapa yang mengetuk pintu itu?” Tanya Fudhail apabila mendengar pintu rumahnya diketuk bertalu-talu.

“Amirul Mukminin!” jawab Barmasid, pegawai yang mendampingi Khalifah Harun.

“Khalifah? Apa urusan baginda denganku dan apa yang harus aku lakukan kepadanya?” Tanya Fudhail.

“Buka saja pintu ini. Bukankah menjadi kewajipan kepada kita untuk bersikap taat kepada pemimpin?”

Pintu dibuka, lalu khalifah dan Barmasid masuk ke dalam rumah Fudhail. Ketika mereka mendekati Fudhail, lelaki alim itu segera memadamkan lampu supaya wajahnya tidak dapat dilihat oleh khalifah dan pembantunya tadi. Khalifah Harun menghulurkan tangan lalu salam itu disambut oleh Fudhail.

“Begitu halus dan lembut telapak tangan ini,” ucap Khalifah Harun selepas menjabat tangan Fudhail.

“Kalaulah tangan dan telapak tangan ini dapat membebaskan diri dari api neraka…” ucap Fudhail sambil meninggalkan mereka untuk menunaikan solat.

Hati Khalifah Harun sangat tersentuh dengan kata-kata Fudhail itu hingga baginda menangis tersedu-sedu. Sesudah solat, Fudhail kembali menemui Khalifah Harun.

“Fudhail, sampaikanlah sesuatu kepadaku!” minta Amirul Mukminin.

Fudhail tidak keberatan lalu memberikan nasihatnya. Kata Fudhail, “Nenek moyangmu, iaitu bapa saudara Nabi s.a.w., pernah meminta kepada Nabi agar menjadikannya sebagai pemimpin. Nabi menjawab, “Wahai bapa saudaraku, untuk sementara aku jadikan engkau pemimpin dirimu sendiri. Maksudku, lakukan ketaatan terhadap Allah walaupun sesaat, itu lebih baik dari seribu tahun orang mentaatimu. Ingatlah, kekuasaan akan menyebabkan penyesalan di hari kebangkitan kelak.”

“Teruskanlah nasihatmu itu Fudhail,” rayu Khalifah Harun.

Fudhail nasihatnya kali ini tentang Umar Abdul Aziz, Khalifah Bani Umayyah yang amat dihormati rakyat. Kata Fudhail, “Ketika Umar bin Abdul Aziz dilantik menjadi khalifah, dia memanggil Salim bin Abdullah, Raja bin Hayat dan Muhammad bin Ka’ab. Umar bin Abdul Aziz berkata, “aku sedang ditimpa ujian. Apa yang harus aku lakukan? Aku tahu, jawatan tinggi ini ujian, walaupun sebahagian besar menganggap kekuasaan itu adalah satu anugerah yang Maha Hebat.”

“Salah seorang daripada mereka berkata, ‘Jika tuan ingin membebaskan diri dari hukuman Allah di akhirat nanti, pandanglah orang Muslim yang sudah tua seolah-olah mereka itu ayah tuan. Dan, anggaplah semua orang yang berusia lebih muda dari tuan sebagai saudara tuan. Anak-anak muda yang Muslim pula, tuan anggap sebagai anak-anak sendiri. Layanlah mereka sebagai ayah, saudara dan anak’.

“Anggaplah wilayah Islam seakan-akan rumah tuan sendiri, dan penduduknya sebagai keluarga tuan. Kunjungilah ayah-ayahmu dan hormatilah saudara-saudaramu. Jadilah ayah yang baik kepada anak-anak tuan,” cerita Fudhail supaya Khalifah Harun tidak lalai daripada tanggungjawabnya kepada Allah sepanjang menjalankan kekuasaannya.

Setelah itu Fudhail berkata lagi, “Wahai Amirul Mukminin, aku khuatir kalau-kalau wajahmu yang tampan ini terpaksa dijilat api neraka. Jadi, takutlah engkau kepada Allah dan taatilah semua perintah dan larangan-Nya. Berhati-hati dan bijaksanalah, kerana pada hari kebangkitan nanti Allah akan menyoalmu kepada setiap Muslim.

“Dia akan minta pertanggungjawaban atas segenap perlakuanmu terhadap mereka. Jika pada suatu malam ada seorang wanita tua yang tertidur tanpa memiliki makanan, maka ia akan menarik hujung pakaianmu pada hari itu dan akan memberikan kesaksian terhadap sikapmu.”

Khalifah Harun al-Rasyid terus menangis mendengar nasihat itu. Dia meraung hingga hampir-hampir hilang kesedarannya kerana begitu takut dengan besarnya dan beratnya tanggungjawab sebagai pemimpin. Khalifah Harun takut kalau di akhirat kelak dia di humban ke neraka kerana telah mengkhianati amanah yang telah diberikan oleh Allah itu.

“Cukup! Engkau telah membunuh Amirul Mukminin!” marah Barmasid, si pegawai yang mendampingi khalifah.

“Diam kau Haman!” gertak Fudhail. “Engkau dan anak-anak buahmu yang menghancurkan Amirul Mukminin, sekarang engkau menuduh aku yang membunuhnya! Apakah ini pembunuhan?”

Tangisan Khalifah Harun semakin menjadi-jadi selepas mendengar tengkingan Fudhail tadi.

“Kau menyebut pendampingku Haman…” kata Khalifah sambil menatap Fudhail, “Beerti kau menyamakan diriku dengan Firaun,” ucap Khalifah Harun lalu bertanya kepada mualim itu; “Apakah engkau mempunyai hutang yang belum dijelaskan?”

“Ya,” jawab Fudhail. “Iaitu hutang ketaatan kepada Allah. Jika Dia menagih pembayaran dariku, maka sengsaralah aku.”

“Yang ku maksudkan ialah hutangmu kepada rang kain, Fudhail…” jelas Khalifah Harun.

“Alhamdulillah. Dia telah memberiku rezeki yang berlimpah ruah, sehingga aku tidak mengeluh kepada hamba-Nya,” sindir Fudhail.

Lalu, khalifah meletakkan pundi-pundi berisi wang dinar di hadapan Fudhail. “Ini wang halal, warisan ibuku. Ambillah sebagai hadiah dariku,” ucap Khalifah Harun.

Fudhail tiba-tiba menjadi marah. “Amirul Mukminin, tidak ada gunanya nasihat yang aku berikan tadi, kerana sekarang ini engkau mula melakukan dosa dan meneruskan ketidakadilan!” balas Fudhail.

“Apa yang salah dengan tindakanku tadi?” khalifah terpinga-pinga.

“Aku menasihatimu supaya kau selamat. Tetapi engkau mendedahkan aku kepada godaan,” balas Fudhail. “Aku mahu kau kembalikan apa yang kau miliki kepada yang berhak, tetapi engkau memberikannya kepada orang yang tidak memerlukannya. Kalau begitu sikapmu, tidak ada funanya nasihat aku tadi!” kata Fudhail lalu terus bangkit dari hadapan khalifah dan melemparkan sekantung wang dinar emas dinar pemberian Amirul Mukminin tadi, ke luar pintu.

v Nama sebenar Fudhail bin Iyadh ialah Abu ‘Ali al-Fudhail bin Iyadh al-Talaqani (187H/803M). beliau lahir di Khurasan, Iraq dan asalnya adalah merupakan ketua perompak. Selepas bertaubat, Fudhail ke Kufah dan seterusnya ke Mekah untuk menunaikan haji. Fudhail seorang ahli hadis yang masyhur dan dikagumi kerana berani berkata sesuatu yang pahit walaupun di hadapan pemerintah.

0 yang ngomen: